AKU SEORANG RAKYAT MALAYSIA

Hidup Adalah Perjuangan dan Kebenaran

Month: March, 2008

Gadis pintar matematik jadi pelacur

Mar 30, 08 11:50pm

019suflahyusofdm_228x279.jpg

Gadis pintar matematik ini pernah menjadi tajuk utama berita media tempatan sedekad lalu tetapi kini Sufiah Yusof patah hati dan menjual tubuhnya demi menyara hidup.

Pada usia 12 tahun, Sufiah yang beribukan wanita kelahiran Johor menjadi isu di Malaysia apabila cuba mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford.

Menteri pendidikan waktu itu Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan memastikan kewarganegaraan Sufiah dahulu sebelum memberikan biasiswa kerajaan Malaysia.

Disember 1997, gadis pintar warga keluarga Britain ini berada di Oxford selama lima hari untuk temuduga memasuki Kolej St. Hilda’s, Oxford.

Kali terakhir minat masyarakat Malaysia terhadap Sufiah muncul apabila gadis manis ini, waktu itu usianya 15 tahun, hilang dari Universiti Oxford, tempat dia menjadi pelajar matematik tahun tiga, pada 2000.

Sufiah hilang selepas selesai mengambil peperiksaan akhirnya pada 21 Jun di Kolej St Hilda.

Anak ketiga pasangan Farooq dan Halimaton – kedua-duanya memakai nama keluarga Yusof – dua minggu kemudian ditemui di sebuah kafe siber dan enggan kembali ke rumah ibu bapanya.

Akhbar News of the World hari ini mendedahkan nasib Sufiah, 23, yang melacurkan diri melalui internet selepas siri-siri kekecewaan hidup yang bertubi-tubi menimpanya, termasuk gagal dalam perkahwinan sewaktu berusia 20 tahun.

Laman web akhbar itu melaporkan, seorang wartawan penyiasatnya berjaya ke pangsapuri wanita manis ini di Salford, Manchester dengan berpura-pura melanggannya dengan bayaran 130 pound (RM829) sejam.

Rencana bertajuk ‘Genius on the Game’ memuatkan beberapa foto wanita muda itu tanpa berpakaian yang dirakam oleh wartawan tersebut.

Sufiah, yang berwajah ceria, tidak menunjukkan kesedihan mendengar berita bapanya yang dihukum penjara 18 bulan sehari sebelum pertemuan dengan wakil media tersebut.

3175.jpg

Farooq, 50, didapati bersalah mencabul dua pelajar perempuan, kedua-duanya 15 tahun, sewaktu mengajar matematik di rumah mereka.

Sufiah menyalahkan bapanya, yang dulunya digambarkan di Malaysia sebagai guru pintar yang mendidik anak-anaknya pintar, yang menderanya secara emosi dan fizikal untuk melayakkannya ke Oxford – begitulah mesej e-mel yang dikirim kepada kakaknya sebagai menjawab kenapa beliau tidak mahu pulang ke rumah mereka.

Menurut News of the World, Farooq juga pernah terlibat dengan dua lagi jenayah – dipenjara pada 1992 selepas memainkan peranan dalam penyelewengan pajakan 1.5 juta pound dan sewaktu 19 tahun dihantar ke sekolah pemulihan selepas terlibat dalam konspirasi 100,000 pound.

Untuk membayar sewa bilik di pangsapuri “buruk dan menyedihkan” itu, Sufiah memperkenalkan dirinya sebagai Shilpa Lee – di sebuah laman web khidmat seks – yang bersedia melayan setiap hari antara 11 pagi hingga 8 malam.

Sufiah gagal menghabiskan pendidikannya di peringkat sarjana di Oxford selepas bertemu Jonathan Marshall.

Perkahwinan mereka, yang tidak dihadiri anggota keluarganya walau mereka diundang, pada 2004 berakhir 13 bulan kemudian.

 

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/80614

 

Dunia Kucing… Si Comot, Si Comel & Si Itam

Oleh: Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman

Mesti korang semua yang minat bela binatang peliharaan. Ada yang suka bela burung, ada yang suka bela iguana, ada yang suka bela anjing, malah sampaikan ada yang bela ular pun ada…(boss aku yang bela)…

Tapi, masih tak ramai korang yang minat bela binatang peliharaan. Ada yang geli la, ada yang tak tahan bulu la, ada yang kata tak suka tengok najis binatang la…malah ada yang kata busuk laa…

Bila aku tengok balada kucing jalanan yang ntah sape punyer, aku teringat kat Comot, 1st lovely cat yang aku suka. Harganya RM300 tue… Comot yang berspesis persian cat ni baru je masuk setahun, jantan plak tu. Apa yang buat aku tertarik pada Comot sebab mata dia warna Orange, dan bulu warna kelabu. Bagi yang tahu selok belok kucing ni, bukan senang nak dapat warna mata dan bulu macam Comot. Hehehehe….

picture7.jpg

Yang 2nd lovely cat ni, Comel namanye. Yang ni kucing betina, aku dapat free daripada seorang hamba Allah s.w.t yang bagi kat aku. Comel ni aku bela sejak umurnye 3 bulan, sampai sekarang umurnya bulan depan masuk setahun. Sape2 yang minat kucing, pasti sukar nak dapat spesis siamese cat, macam Comel ni. Bulu putih dan kulit telinga, muka dan kaki warna coklat. Susah nak dapat wooo….. Sebab tu aku bagi rumah Comel sebilik dengan Comot…biasa la kan…nak bagi ramah mesra supaya dapat stok anak. Hahahhaks

Yang 3rd persian cat si nakal ni plak, namanye Itam. Memang nakal perabih. Bukan nakal pasal ape, manja sangat berlebih. Kucing ni betina. Aku dapat Itam ni time aku cover story Expose episod Babi Oh Babi kat Banting, Selangor dengan harga RM100 daripada Kak Noridah Kucing. Istimewanye, Itam ni bulu nye macam sutera, lembut nak mampus. Asal aku balik jer, Itam gesel badannye kat aku. Kadang-kadang lemas aku dibuatnya. Nak tak nak, aku melayannye dengan penuh kasih sayang. Rumahnya khas, Itam je dalam 1 bilik. Bukan apa, kalau aku bagi Comot sebilik dengan Itam, nanti kes sexual harrasment akan berlaku. Itam ni baru je 7 bulan. Virgin lagi…. Ahahahaks.

Ketiga2 lovely cats ni…mmg manja dengan aku. Respect giler dekat tuannya. Asal nampak muka aku je, tak boleh la nak lari. Habis lompat2 dan duduk dengan aku. Best gak…bukan ape, nak hilang rasa tension kerja, kita luahkan kat kucing. Jadi, Comot, Comel dan Itam akan jadi pendengar setia pada masalah tuannya (sungguhpun Comot, Comel dan Itam tak dapat selesaikan masalah tersebut!!!!).

(p/s: Kalau sape2 nak kucing, korang boleh contact aku)

Saman fitnah: Penulis blog Raja Petradan tiga defendan diperintah bayar RM7 juta kepada Naib Canselor UUM

bt_09_1.jpg

 ALOR STAR 26 Mac – Penulis blog Raja Petra Kamaruddin, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Pengarang akhbar Suara Keadilan diperintah membayar ganti rugi RM7 juta kepada Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Nordin Kardi dan UUM dalam satu kes saman fitnah.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Star, Priscilla Gengadaran hari ini membuat taksiran ganti rugi sebanyak RM7 juta yang patut dibayar kepada Nordin Kardi dan UUM selepas defendan menyiarkan fitnah terhadap mereka dalam laman web dan akhbar Suara Keadilan.

Nordin Kardi dan UUM menyaman empat defendan dalam kes tersebut.Defendan pertama ialah Raja Petra, defendan kedua parti PKR, diikuti Ketua Pengarang akhbar Suara Keadilan dan editornya.

Mahkamah memutuskan Raja Petra memfitnah Nordin dan UUM apabila mendakwa dalam laman web www.malaysia-today.net pada 16 Disember 2006 secara penulisan menyiarkan sebuah artikel bertajuk Dato Dr. Nordin Kardi Ciplak Karya Saya? Mohon Penjelasan.

Nordin Kardi mendakwa beliau telah difitnah selama tempoh dua minggu penerbitan artikel berkenaan dan fitnah tersebut adalah melibatkan profesion dan integriti beliau untuk mengetuai sebuah universiti awam.

Sementara defendan kedua, ketiga dan keempat pula didakwa menyiarkan sebuah artikel bertajuk NC UUM Penciplak dalam akhbar Suara Keadilan bilangan 098 bertarikh 27 Disember 2006 hingga 10 Januari 2007 di muka surat 26 akhbar defendan kedua.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2008&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_09.htm

Siti Norma Jadi Hakim Wanita Pertama di UAE…

cjmtansrisitinorma-8.jpg

DUBAI, 25 Mac (Bernama) — Tan Sri Siti Norma Yaakob, yang mencipta sejarah sebagai hakim wanita pertama di Emiriyah Arab Bersatu(UAE), menyifatkan pelantikan beliau itu sebagai suatu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sewajarnya.

Bekas Hakim Besar Malaya itu bagaimanapun berkata pada mulanya, beliau agak gusar apabila memikirkan tentang reaksi UAE terhadap seorang wanita Islam yang dilantik sebagai hakim.

“Tapi, apa yang saya sangkakan itu terbukti salah. Selain itu, negara saya juga berbangga dengan pengiktirafan yang diberi kepada saya,” kata Siti Norma, seorang daripada enam hakim baru di Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai.

Siti Norma memberitahu akhbar XPress bahawa beliau berasa bangga serta berbesar hati dengan pelantikan itu dan bersyukur atas keyakinan yang diberikan kepadanya.

Siti Norma juga melahirkan keyakinan bahawa pelantikan beliau ke jawatan itu akan membantu merapatkan lagi hubungan antara UAE dan Malaysia.

Siti Norma, 67, bersara sebagai Hakim Besar Malaya pada 2007, setelah berkhidmat selama 43 tahun dalam bidang perundangan. Beliau merupakan wanita pertama yang menyandang jawatan itu di Malaysia.

Beliau menasihati peguam wanita di UAE supaya berusaha dengan tekun dan bersemangat kental bagi memajukan kerjaya masing-masing, sambil menyatakan bahawa Malaysia sendiri mengambil masa lebih dua dekad selepas kemerdekaannya sebelum mempunyai seorang hakim wanita.

“Rekod pencapaian anda tidak akan diabaikan untuk selama-lamanya. Ia akan diambil kira suatu hari nanti dan apabila ini berlaku, anda akan dapat melihat seorang wanita Arab dilantik sebagai hakim di UAE,” kata beliau seperti yang dipetik oleh akhbar berkenaan.

Siti Norma mengaku beliau pernah berasa kecewa apabila mendengar kenyataan berat sebelah yang dibuat tentang wanita.

“Tapi, lama kelamaan, saya belajar menerima perkara itu dan menganggapnya sebagai suatu cabaran,” kata beliau.

Siti Norma juga melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang dilantik Hakim Mahkamah Tinggi sebelum menjadi akim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Besar Malaya pada 2005.

Dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 6 Julai 1940, beliau mendapat pendidikan dalam jurusan undang-undang di London.

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=322603

RUKUN NEGARA

 

bendera.jpg

BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil bagi kemakmuran negara yang akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progesif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN


Nota: Saya harap ramai-ramai kita downloadkan dokumen di atas dan kirimkan kepada seluruh pihak yang terbukti sedang menderhaka kepada Raja-Raja Melayu pada ketika ini. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!

Sumber: http://kuda-kepang.blogspot.com/2008/03/rukun-negara-bahawasanya-negara-kita.html#links

Cerita Dari Mindanao (Part 2)

Oleh: Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman

matahari.jpg

Pagi menjelma.

Jalan raya mula sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang lalu lalang menuju ke destinasi masing-masing.

Inilah rutin harian masyarakat bangsa Moro yang mendiami kepulauan Mindanao, Selatan Filipina.

dsc_0043.jpg

 


Sejarah mencatatkan sejak 400 tahun lalu, wilayah ini kerap bergolak dengan peperangan.

Dari penjajahan era Sepanyol hingga ke era Amerika dan Filipina, bumi Mindanao tidak pernah aman.

Apa yang bangsa Moro mahukan hanyalah kemerdekaan.

moro-protest01.jpg

Kemerdekaan yang tidak dikecapi hingga kini.

Dunia sering menyalahtafsirkan perjuangan mereka.

Kecaman demi kecaman mereka hadapi sehingga ada yang mengganggap bangsa Moro adalah pengganas.

Untuk meninjau dengan lebih dekat, kami menuju dari Cotabato City ke Kampung Darapanan.

Persekitaran di sini tampak biasa.

Namun, tiada siapa menyangka di sini menempatkan kem tentera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), atau lebih dikenali sebagai Mujahidin Moro.

dsc_0160.jpg

“Sebenarnya, bukan mudah untuk masuk ke kawasan kem Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan tidak ramai yang tahu kerana ianya terletak 6 km dari Bandar Cotabato. Dan kami berasa bersyukur dan bertuah kerana dapat ditemani dengan saudara kita En Pigkaulan untuk meninjau lebih dekat aktiviti Mujahidin di sini”, kata penulis.

Pertama kali melangkah masuk ke Kampung ini, kelihatan masyarakat di sini hidup dalam keadaan sederhana.

Dengan kawasan seluas lebih 100 hektar, pertanian merupakan sumber ekonomi utama penduduk-penduduk kampung ini.

Saudara Parido R. Pigkaulan, merupakan Pengarah di Institut Pengajian Bangsa Moro.

dsc_0467.jpg

 

Dia yang berusia 50 tahun, sanggup meluangkan masa membantu dalam mencapai hasrat kami untuk bertemu dengan para Mujahidin Moro.

Menurutnya, di kampung ini terdapat beberapa pos kawalan keselamatan yang ketat di mana orang yang tidak dikenali dilarang sama sekali masuk ke kawasan ini.

Perjalananan kami mengambil masa 45 minit untuk sampai ke lokasi latihan Mujahidin Moro.

Sepanjang perjalanan, hati tersentuh melihat anak-anak muda remaja mengawal di pintu masuk utama kem ini.

Apakah dengan hanya membawa selaras senjata dan peluru, mereka sudah mengenal erti hidup?

Walaupun berat untuk menerima, langkah demi langkah diteruskan bagi mencari pertanyaan dan jawapan.

dsc_0133.jpg

Tepat 9 pagi.

Perbarisan kawad bermula, sebagai rutin harian mereka.

Melihat keadaan mereka, terdetik pertanyaan di hati.

Semangat yang cekal, jiwa yang kental…dari usia yang muda hingga ke usia yang tua, tekad mereka tidak luntur.

Tampak jelas kesungguhan mereka meneruskan perjuangan dalam menuntut kembali kemerdekaan…

Kemerdekaan tanah air mereka.

dsc_0337.jpg

Menurut General Staf Pasukan Tentera Islam MILF, Mohamad Nasim, situasi di Mindanao kini terkawal dan meletakkan pasukannya dalam keadaan berjaga-jaga.

Namun, mereka sentiasan komited dalam memberikan kerjasama penuh dengan tentera kerajaan Filipina

Beliau juga menolak andaian segelintir media yang mengaitkan pasukan tentera MILF dengan pertubuhan rangkaian pengganas.

“Kami tidak mempunyai sebarang agenda. Kami tidak melibatkan diri dalam al-Qaeda dan pengganas,” kata Mohamad Nasim.

Majoriti pejuang Mujahidin Moro berusia dalam lingkungan 25 hingga 70 tahun.

Namun, tidak ketinggalan anak-anak muda seawal usia 15 tahun turut diberi pendedahan menyertai pasukan tentera.

Semua ini ada asasnya.

Setiap perkara ada sebabnya.

Pencarian kami tidak terhenti di sini.

Kami diperkenalkan dengan peralatan senjata kegunaan mereka.

dsc_0140.jpg

Menurut Parido R. Pigkaulan, ini merupakan sebahagian peralatan senjata yang ditunjukkan, namun difahamkan terdapat beberapa senjata canggih tidak dapat dipamerkan atas tujuan keselamatan.

Canggih dan hebat.

Mereka bukan sahaja mahir dalam selok-belok peperangan, malah turut memiliki kemahiran membuat senjata.

Setiap kali sesi latihan dijalankan, setiap kata-kata semangat dilontarkan dengan penuh yakin.

Yakin dengan setiap perjuangan demi menegakkan syiar Islam.

Kami meninggalkan mereka dengan perasaan suka dan duka.

Sampai bila mereka harus mengharungi kesengsaraan ini?

Sampai bila…sampai bila mereka sanggup bertahan meneruskan perjuangan ini?

Keceriaan jelas di wajah mereka, namun di hati, siapa yang tahu.

dsc_0299.jpg

Sepanjang perjalanan pulang dari kem latihan pejuang mujahidin, kami singgah seketika di kawasan perkampungan, untuk bertemu masyarakat Moro.

Setibanya di rumah ini, alangkah terkejutnya kami terpandang senjata-senjata yang terletak di sudut tepi rumahnya.

Dan lantas seorang lelaki memberikan senjata berkenaan kepada anak-anaknya.

Apalah yang kanak-kanak ini tahu.

Mereka membesar dalam kehidupan yang penuh dengan senjata.

dsc_0172.jpg

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Cotabato.

Mencari bukti mengapa kehidupan masyarakat Moro tersisih dari arus pembangunan dan ekonomi.

Di Institut Pengajian Bangsamoro(I-B-S), kami bertemu dengan Profesor Abhoud Syed M. Lingga, untuk mendapat pandangan lebih jelas mengenai status konflik masyarakat Moro.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif I-B-S berkata, masyarakat bangsa Moro begitu tersisih ekoran diskriminasi yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Menurutnya, derita masyarakat bangsa Moro tidak terhenti di sini.

dsc_0463.jpg

Penjajahan demi penjajahan berterusan sehingga kajian membuktikan terdapat pengurangan kawasan tanah milik bangsa Moro.

Apa yang pasti, kemiskinan pasti berterusan jika hak bangsa Moro terus dinafikan.

Perjalanan kami tidak terhenti di sini.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke masjid yang terletak di tengah bandar ini.

Kedengaran khutbah sedang disampaikan imam masjid dengan penuh ketegasan.

dsc_0396.jpg

Jaafar Ali, iman Masjid di bandar ini sudi berkongsi pendapat mengenai pemahaman Islam di kalangan masyarakat bangsa Moro.

Menurutnya, masyarakat bangsa Moro hidup dalam keadaan aman walaupun dihimpit sejarah lampau.

Beliau turut menafikan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bangsa Moro adalah masyarakat yang radikal terhadap Islam.

Apa yang mampu bangsa Moro lakukan, hanyalah menadah tangan dan memohon doa kepadaNya agar mendapat petunjuk dan masa depan yang terjamin.

dsc_0420.jpg

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Radio Mindanao Network RMN.

Kehadiran kami disambut dengan begitu mesra.

Kami dibawa melawat dan diberi penerangan mengenai operasi stesen radio.

Amir Samrud, anak tempatan bangsa Moro, berusia 52 tahun, merupakan juru hebah radio yang telah berkhidmat selama 12 tahun.

Dia yang mengendalikan program Voice of Mindanao atau Suara Penduduk Mindanao, berkata program ini adalah alternative bagi masyarakat yang tinggal di kawasan ini.

“Apa yang berlaku di Filipina, bukan sahaja kisah mengenai nasib bangsa Moro, tetapi isu Negara dan isu antarabangsa. Program ini ‘Suara of Mindanao’ adalah program alternatif bagi masyarakat yang tinggal di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, program ini dikendalikan setiap malam dan menjadi antara program yang paling popular di Mindanao.

Stesen radio ini bukan milik masyarakat Moro.

Tetapi, mereka berbincang mengenai apa yang berlaku di Filipina termasuk situasi masyarakat Moro.

“Antaranya, MILF dan kumpulan GRP, apa yang berlaku pada rundingan damai, temubual pemimpin MILF serta pandangan daripada masyarakat Moro. Walaupun kita menjadi ahli Institut Pengajian Bangsamoro, kita bercakap mengenai isu . Kami tidak pernah bercakap berat sebelah mengenai MILF. Kami bercakap apa yang berlaku dalam Negara. Kami tidak mahu buat spekulasi.”

dsc_0362.jpg

Akhir sekali, ini harapan penulis:

“Tanyalah apa yang penduduk bangsa Moro mahu. Katakanlah aspek ekonomi mana yang baik untuk mereka. Tetapi bukan itu yang mereka mahu. Namun, antara tuntutan yang jika dipenuhi dapat menyelesaikan krisis yang berpanjangan di Selatan Filipina. Antaranya, kemerdekaan, system autonomi sendiri, system pendidikan yang mencerminkan Islam dan sector pekerjaan yang adil. Jika ini tidak dipenuhi, sampai bila pun…mereka akan terus berasa tersisih”.

 

TAMAT

Cerita Dari Mindanao (Part 1)

Oleh: Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman

 

Cotabato

 

Sejak 400 tahun lalu, bumi Mindanao tidak pernah aman.

Dari penjajahan era Sepanyol, hinggalah ke era Amerika dan Filipina, wilayah ini kerap bergolak dengan peperangan.

Sejarah mencatatkan rakyat Mindanao hanya mahukan kemerdekaan… kemerdekaan yang tidak dikecapi hingga kini.

Mindanao…merupakan pulau terbesar kedua di Filipina, dari tiga kelompok pulau utama…Luzon dan Visayas.

Mindanao yang terletak di selatan Filipina adalah kawasan majoritinya kaum Muslim bangsa Moro.

Lima abad melawan penjajahan Sepanyol, Amerika, penaklukan Jepun dan Filipina ditempuh bangsa Moro melalui peperangan bagi meraih kemerdekaan.

Namun, pembahagian pola pemilikan tanah yang tidak adil dan kebanjiran pendatang luar ke wilayah ini menimbulkan kemarahan bangsa Moro yang miskin dan tersisih selama ratusan tahun.

Akibat dari penindasan, mereka bertekad keluar dari kepompong jajahan, melalui peperangan.

Dan kini, dunia sering menyalahtafsirkan perjuangan mereka.

Kecaman demi kecaman mereka hadapi sehingga ada yang menganggap bangsa Moro adalah pengganas.

Di Mindanao, kepadatan penduduk seramai 20 juta orang, yang mana suku juta daripadanya adalah Muslim Moro.

Terdapat 13 etnik bangsa Moro iaitu Maguindanao, Maranao, Tausug, Iranun, Sama, Yakan, Bajau, Jama Mapun, Kalagan, Kalibugan, Sangil, Molbog dan Palawani.

Namun, siapakah bangsa Moro?

Menurutnya, bangsa Moro begitu nekad memperjuang nasib bangsanya sehingga ke titisan darah terakhir.

Islam tiba di tanah Moro pada 1210, diperkenalkan pedagang dan mubaligh Arab.

philmap2a.jpg

 

Tidak lama selepas itu, Kesultanan Islam diwujudkan dengan Sultan Sulu memerintah Basilan, Tawi-Tawi dan Palawan manakala Sultan Maguindanao menguasai kawasan yang kini digelar Moroland.

Apabila Ferdinand Magellan sampai ke Pulau Mactan berdekatan Cebu, dalam cubaan mengelilingi dunia, beliau menyedari bahawa terdapat etnik Muslim Moro yang menapoli kepulauan tersebut

316150631_6c10c46061.jpg

 

Sewaktu Magellan dibunuh oleh Datu Lapu-Lapu pada 1521, bermulalah detik sejarah berdarah

Kedatangan penjajah Sepanyol pada kurun ke 16 mendapat tentangan sengit penduduk Moro selama 300 tahun.

Pada 1898, satu perjanjian ditandatangani Amerika dan Sepanyol, di mana Sepanyol bersetuju untuk menyerahkan tanah jajahannya, Filipina kepada pihak Amerika.

Apa yang pelik, walaupun pihak Sepanyol tidak berjaya menguasai kepulauan di selatan, kawasan tersebut turut ‘dipindah milik’ kepada Amerika.

Apabila tentera Amerika tiba di Filipina, antara tugas utama mereka ialah untuk menamatkan persengketaan yang telah lama berlaku di Selatan Filipina dengan cara rundingan.

Perkara ini dipersetujui oleh sultan-sultan Moro dan pada 1899, perjanjian ‘Kiram-Bates’ ditandatangani dengan persetujuan pihak Amerika bahawa mereka tidak akan campur tangan dalam urusan dalam Kesultanan Moro.

300px-fdr0216.jpg

 

Namun pada Mac 1904, Presiden Roosevelt tanpa meminta pandangan pihak Moro telah membatalkan perjanjian ini.

Penentangan Moro berlaku semula dan berlarutan selama 47 tahun.

Selepas perang Dunia Kedua pada 1946, pihak Amerika telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Filipina.

Tanpa diduga, tanah bangsa Moro dijadikan sebahagian kawasan Filipina.

Peristiwa imi membuka satu lagi episod keganasan ke atas umat Islam di Selatan Filipina.

mnlf-camp.jpg

 

Moro National Liberation Front (MNLF) atau Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro merupakan organisasi awal dalam meneruskan perjuangan bangsa Moro.

Menurutnya, penubuhan MNLF berjaya menyatukan bangsa Moro melalui pimpinan Nur Misuari.

Namun, penyatuan ini hanya seketika ekoran perselisihan fahaman dan haluan para pemimpin kanan.

Kesannya, ketidaksefahaman ini mewujudkan perpecahan di kalangan bangsa Moro.

nur-misuari4.jpg

 

Pada 1996, hasil rundingan damai dipersetujui antara Filipina dan MNLF yang mana wujud Kawasan Autonomi Muslim Mindanao atau ARRM dipimpin Nur Misuari yang dilantik menjadi Gabenor.

Pentadbiran Nur Misuari tidak kekal lama.

Misuari akhirnya ditahan atas tuduh melancarkan pemberontakan serangan ke atas Manila ketika dia tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya Gabenor Wilayah pada November 2001.

Kesempatan ini diambil Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk mengetuai pasukan rundingan damai dengan Filipina di mana Malaysia memainkan peranan sebagai pihak ketiga

 

Walaupun Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro MNLF dan Barisan Pembebasan Islam Moro MILF berpecah, namun matlamat mereka sama, bezanya adalah strategi

Walaupun bangsa Moro dijajah dan berperang mempertahankan tanah air, mereka tetap tidak mengalah kerana perjuangan ini adalah perjuangan nenek moyang mereka.

Malah, dunia juga turut mengakui kehidupan bangsa Moro tersisih sejak dahulu lagi.

Malah, tekanan demi tekanan dialami bangsa Moro apabila laporan media Barat mengaitkan MILF dengan pertubuhan rangkaian pengganas.

dsc_0276.jpg

Apabila menyentuh pandangan mengenai perjuangan kumpulan Abu Sayaf, nyata pendekatan mereka terlalu radikal.

askandar.jpg

Dalam setiap rundingan bagi sesebuah negara berkonflik, Dr Kamarulzaman menegaskan terdapat beberapa tahap yang perlu dilalui bagi mencapai persefahaman.

Rundingan keamanan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bertemu di Kuala Lumpur bagi mencari penyelesaian terhadap konflik di Mindanao.

Panel keamanan Manila diketuai Rodolfo Garcia, dan ketua perunding MILF diketuai Mohagder Iqbal.

kedua-dua pihak berusaha mencari jalan ke arah memuktamadkan memorandum persefahaman mengenai tuntutan wilayah.

Ketua Pemudahcara Rundingan Damai, Datuk Othman Abdul Razak yang juga penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, banyak isu dibincangkan sebelum persetujuan dicapai.

Namun, perkara yang paling penting bagi kedua pihak untuk mengkaji tempoh peralihan dalam jangka masa lima hingga enam tahun.

Beliau berkata kedua-dua pihak dan Malaysia ingin melihat keamanan yang berkekalan di Mindanao bagi mengelak sebarang keganasan yang boleh menggugat kestabilan.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan mengandungi resolusi isu-isu yang masih dibincangkan, termasuk yang berkaitan dengan warisan wilayah kekuasaan. Paling penting isu yang merujuk kepada tuntutan MILF terhadap wilayah untuk menjadikan tanah air kaum Muslim.

Beliau berkata kedua-dua pihak dan Malaysia ingin melihat keamanan yang berkekalan di Mindanao bagi mengelak sebarang keganasan yang menggugat kestabilan.

img65272_t.jpg

Ketua Perunding MILF Mohagder Iqbal berkata barisannya komited dalam memperjuangkan tanah air bangsa Moro di Mindanao.

Kemerdekaan…inilah yang bangsa Moro mahukan.

Dr Kamarulzaman menyuarakan pandangannya mengenai persamaan konflik tiga negara di Asia.

Apa yang penting, prinsip keadilan menjadi perkara utama dalam perjuangan hak asasi manusia.

Kebangkitan rakyat Moro menentang adalah kesinambungan daripada perjuangan yang berabad lamanya.

Selepas lebih 30 tahun berjuang di wilayah ini, keadaan tidak banyak berubah dari segi politik.

 

Bersambung… Part 2

Kisah Aku di Mindanao…

Wartawan Malaysia tembusi kubu MILF
14-11-2007 12:45:31 PM
Oleh SALHAN K. AHMAD

PETALING JAYA: Krew penggambaran sebuah syarikat produksi tempatan telah berjaya memasuki kubu sebuah kumpulan pemisah bersenjata di Filipina, menurut salah seorang anggota krew tersebut.

MILF

“Sebelum ini tidak pernah ada media yang dapat memasuki kubu pemimpin kumpulan pemisah Moro Islamic Liberation Front (MILF) dan menemuramah ‘mujahidin’ di situ,” dakwa penerbit program Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman.

Katanya lagi, beliau selaku wartawan dalam tugasan tersebut telah menemuramah seorang jurucakap kumpulan tersebut, Eid Dur Reza, setelah berjaya memasuki kubu berkenaan yang terletak di Kampung Kidapawan, Cotabato City.

Bagaimanapun, Ahmad Fazlan terkilan kerana tidak dapat menemuramah kumpulan Abu Sayyaf, kumpulan bersenjata yang dikehendaki kerajaan Filipina dan Amerika Syarikat atas dakwaan melakukan terorisme.

“Kami tidak berjaya mendapatkan akses untuk menemui kumpulan Abu Sayyaf,” katanya, yang berada di kepulauan konflik itu selama 10 hari sehingga minggu lalu.

Jelasnya, beliau telah dibantu untuk menemui sumber-sumber untuk laporan mereka oleh seorang pengarah Institute of Bangsamoro Studies, sebuah institut yang dibangunkan untuk mengkaji isu-isu berkaitan kaum Moro.

mStar Online sebelum ini melaporkan program berkenaan dijalankan untuk mengimbangi laporan media Barat yang sering melabel kaum Moro dan kumpulan Abu Sayyaf sebagai kumpulan militan.

Tugasan itu juga bertujuan mengkaji jaringan kumpulan Abu Sayyaf untuk menentukan sama ada mereka benar-benar mempunyai kaitan dengan kumpulan Al-Qaeda seperti yang didakwa oleh media antarabangsa.

Ahmad Fazlan, 25, juga berkata kandungan berkenaan akan disiarkan sepanjang dua episod dalam satu slot istimewa rancangan ‘Expose’ sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di saluran Astro Prima.

Petikan:

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_385a9962-c0a85062-5fc71000-cf7ff7ac

Kisah Aku Sebelum Pemergian Ke Mindanao…

Dokumentari bongkar kehidupan Moro, Abu Sayyaf
25-10-2007 05:38:43 PM
Oleh SALHAN K. AHMAD

PETALING JAYA: Sebuah syarikat produksi tempatan akan membuat satu siri dokumentari mengenai kehidupan kaum Moro dan kumpulan Abu Sayyaf di Filipina untuk siaran Astro Prima.

Penerbitnya Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman, 25, berkata program berkenaan dijalankan untuk mengimbangi laporan media barat yang sering melabel kaum Moro dan kumpulan Abu Sayyaf sebagai kumpulan militan.

“Kami akan memberi tumpuan ke atas masalah-masalah yang dialami oleh penganut Islam Moro dan kumpulan Abu Sayyaf. Kita tahu laporan-laporan media barat suka melabelkan kumpulan ini sebagai militan, sedangkan kaum Moro ini adalah satu kolektif autonomi yang mahukan kemerdekaan daripada Filipina.

“Kami juga mahu mengkaji jaringan kumpulan Abu Sayyaf ini. Benarkah mereka dikaitkan dengan kumpulan Al-Qaeda seperti yang didakwa oleh media barat sebab saya dapati laporan-laporan daripada sumber-sumber ini amat berat sebelah,” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau yang juga akan bertindak sebagai wartawan bagi tugasan tersebut berkata, pengarah eksekutif Institute of Bangsamoro Studies akan membantu mereka menemui sumber-sumber untuk laporan mereka.

“Prof Abhoud Syed M. Lingga, akan menjadi pemandu arah dan laporan kami banyak diasaskan daripada kajiannya ke atas kaum Moro dan juga Abu Sayyaf,” katanya.

Selain mempengerusikan Majlis Rundingan Rakyat Bangsamoro, Prof Abhoud juga berpengaruh di kalangan pemimpin kumpulan pemisah Moro Islamic Liberation Front (MILF).

Dua lagi kumpulan utama yang dianggotai penganut Islam di negara itu adalah Moro National Liberation Front (MNLF) yang berpendirian neutral serta kumpulan pemisah Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan jaringan pengganas antarabangsa oleh Amerika Syarikat setelah serangan 11 September 2001 di New York.

Mindanao
Kumpulan aktivis berdemonstrasi bagi memprotes penggempuran ketenteraan ke atas kumpulan Abu Sayyaf pada pertengahan Ogos lalu. (Foto fail AFP)

 

Ahmad Fazlan menjelaskan, masalah utama yang perlu dihadapi olehnya dan juga dua orang jurukamera untuk tugasan itu adalah berkaitan akses ke wilayah-wilayah sensitif di Mindanao dan Basilan.

“Kami mungkin tidak dapat berjaya untuk masuk kerana kawasan ini dikawal ketat oleh tentera Filipina dan Amerika Syarikat. Tetapi kami tetap akan cuba,” katanya yang akan bertolak ke negara itu esok bagi menyiapkan tugasan selama seminggu.

“Keadaan di situ masih belum stabil. Setiap hari ada saja laporan mengenai tembakan dan sebagainya, tapi itu bukan penghalang bagi saya kerana minat dalam bidang kewartawanan,” katanya.

Beliau yang berpengalaman melaporkan mengenai penindasan ke atas orang Islam di negara bekas wilayah Soviet Rusia itu berkata beliau merancang tugasan itu bukan kerana untuk memenuhi permintaan penonton.

“Wartawan perlu menjadi orang pertama yang mengetahui mengenai sesuatu perkara. Saya berminat dengan tugasa ini atas rasa ingin tahu, tetapi kebanyakan yang kita tahu mengenai orang Islam di sana adalah melalui media barat, jadi saya ingin pergi buat laporan sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, hasil daripada tugasan itu akan disiarkan melalui program ‘Expose’ di saluran Astro Prima pada bulan November.

Petikan:

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_d6785372-c0a85062-1e6f6780-d385ddc7

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.