Cerita Dari Mindanao (Part 2)

Oleh: Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman

matahari.jpg

Pagi menjelma.

Jalan raya mula sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang lalu lalang menuju ke destinasi masing-masing.

Inilah rutin harian masyarakat bangsa Moro yang mendiami kepulauan Mindanao, Selatan Filipina.

dsc_0043.jpg

 


Sejarah mencatatkan sejak 400 tahun lalu, wilayah ini kerap bergolak dengan peperangan.

Dari penjajahan era Sepanyol hingga ke era Amerika dan Filipina, bumi Mindanao tidak pernah aman.

Apa yang bangsa Moro mahukan hanyalah kemerdekaan.

moro-protest01.jpg

Kemerdekaan yang tidak dikecapi hingga kini.

Dunia sering menyalahtafsirkan perjuangan mereka.

Kecaman demi kecaman mereka hadapi sehingga ada yang mengganggap bangsa Moro adalah pengganas.

Untuk meninjau dengan lebih dekat, kami menuju dari Cotabato City ke Kampung Darapanan.

Persekitaran di sini tampak biasa.

Namun, tiada siapa menyangka di sini menempatkan kem tentera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), atau lebih dikenali sebagai Mujahidin Moro.

dsc_0160.jpg

“Sebenarnya, bukan mudah untuk masuk ke kawasan kem Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan tidak ramai yang tahu kerana ianya terletak 6 km dari Bandar Cotabato. Dan kami berasa bersyukur dan bertuah kerana dapat ditemani dengan saudara kita En Pigkaulan untuk meninjau lebih dekat aktiviti Mujahidin di sini”, kata penulis.

Pertama kali melangkah masuk ke Kampung ini, kelihatan masyarakat di sini hidup dalam keadaan sederhana.

Dengan kawasan seluas lebih 100 hektar, pertanian merupakan sumber ekonomi utama penduduk-penduduk kampung ini.

Saudara Parido R. Pigkaulan, merupakan Pengarah di Institut Pengajian Bangsa Moro.

dsc_0467.jpg

 

Dia yang berusia 50 tahun, sanggup meluangkan masa membantu dalam mencapai hasrat kami untuk bertemu dengan para Mujahidin Moro.

Menurutnya, di kampung ini terdapat beberapa pos kawalan keselamatan yang ketat di mana orang yang tidak dikenali dilarang sama sekali masuk ke kawasan ini.

Perjalananan kami mengambil masa 45 minit untuk sampai ke lokasi latihan Mujahidin Moro.

Sepanjang perjalanan, hati tersentuh melihat anak-anak muda remaja mengawal di pintu masuk utama kem ini.

Apakah dengan hanya membawa selaras senjata dan peluru, mereka sudah mengenal erti hidup?

Walaupun berat untuk menerima, langkah demi langkah diteruskan bagi mencari pertanyaan dan jawapan.

dsc_0133.jpg

Tepat 9 pagi.

Perbarisan kawad bermula, sebagai rutin harian mereka.

Melihat keadaan mereka, terdetik pertanyaan di hati.

Semangat yang cekal, jiwa yang kental…dari usia yang muda hingga ke usia yang tua, tekad mereka tidak luntur.

Tampak jelas kesungguhan mereka meneruskan perjuangan dalam menuntut kembali kemerdekaan…

Kemerdekaan tanah air mereka.

dsc_0337.jpg

Menurut General Staf Pasukan Tentera Islam MILF, Mohamad Nasim, situasi di Mindanao kini terkawal dan meletakkan pasukannya dalam keadaan berjaga-jaga.

Namun, mereka sentiasan komited dalam memberikan kerjasama penuh dengan tentera kerajaan Filipina

Beliau juga menolak andaian segelintir media yang mengaitkan pasukan tentera MILF dengan pertubuhan rangkaian pengganas.

“Kami tidak mempunyai sebarang agenda. Kami tidak melibatkan diri dalam al-Qaeda dan pengganas,” kata Mohamad Nasim.

Majoriti pejuang Mujahidin Moro berusia dalam lingkungan 25 hingga 70 tahun.

Namun, tidak ketinggalan anak-anak muda seawal usia 15 tahun turut diberi pendedahan menyertai pasukan tentera.

Semua ini ada asasnya.

Setiap perkara ada sebabnya.

Pencarian kami tidak terhenti di sini.

Kami diperkenalkan dengan peralatan senjata kegunaan mereka.

dsc_0140.jpg

Menurut Parido R. Pigkaulan, ini merupakan sebahagian peralatan senjata yang ditunjukkan, namun difahamkan terdapat beberapa senjata canggih tidak dapat dipamerkan atas tujuan keselamatan.

Canggih dan hebat.

Mereka bukan sahaja mahir dalam selok-belok peperangan, malah turut memiliki kemahiran membuat senjata.

Setiap kali sesi latihan dijalankan, setiap kata-kata semangat dilontarkan dengan penuh yakin.

Yakin dengan setiap perjuangan demi menegakkan syiar Islam.

Kami meninggalkan mereka dengan perasaan suka dan duka.

Sampai bila mereka harus mengharungi kesengsaraan ini?

Sampai bila…sampai bila mereka sanggup bertahan meneruskan perjuangan ini?

Keceriaan jelas di wajah mereka, namun di hati, siapa yang tahu.

dsc_0299.jpg

Sepanjang perjalanan pulang dari kem latihan pejuang mujahidin, kami singgah seketika di kawasan perkampungan, untuk bertemu masyarakat Moro.

Setibanya di rumah ini, alangkah terkejutnya kami terpandang senjata-senjata yang terletak di sudut tepi rumahnya.

Dan lantas seorang lelaki memberikan senjata berkenaan kepada anak-anaknya.

Apalah yang kanak-kanak ini tahu.

Mereka membesar dalam kehidupan yang penuh dengan senjata.

dsc_0172.jpg

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Cotabato.

Mencari bukti mengapa kehidupan masyarakat Moro tersisih dari arus pembangunan dan ekonomi.

Di Institut Pengajian Bangsamoro(I-B-S), kami bertemu dengan Profesor Abhoud Syed M. Lingga, untuk mendapat pandangan lebih jelas mengenai status konflik masyarakat Moro.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif I-B-S berkata, masyarakat bangsa Moro begitu tersisih ekoran diskriminasi yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Menurutnya, derita masyarakat bangsa Moro tidak terhenti di sini.

dsc_0463.jpg

Penjajahan demi penjajahan berterusan sehingga kajian membuktikan terdapat pengurangan kawasan tanah milik bangsa Moro.

Apa yang pasti, kemiskinan pasti berterusan jika hak bangsa Moro terus dinafikan.

Perjalanan kami tidak terhenti di sini.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke masjid yang terletak di tengah bandar ini.

Kedengaran khutbah sedang disampaikan imam masjid dengan penuh ketegasan.

dsc_0396.jpg

Jaafar Ali, iman Masjid di bandar ini sudi berkongsi pendapat mengenai pemahaman Islam di kalangan masyarakat bangsa Moro.

Menurutnya, masyarakat bangsa Moro hidup dalam keadaan aman walaupun dihimpit sejarah lampau.

Beliau turut menafikan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bangsa Moro adalah masyarakat yang radikal terhadap Islam.

Apa yang mampu bangsa Moro lakukan, hanyalah menadah tangan dan memohon doa kepadaNya agar mendapat petunjuk dan masa depan yang terjamin.

dsc_0420.jpg

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Radio Mindanao Network RMN.

Kehadiran kami disambut dengan begitu mesra.

Kami dibawa melawat dan diberi penerangan mengenai operasi stesen radio.

Amir Samrud, anak tempatan bangsa Moro, berusia 52 tahun, merupakan juru hebah radio yang telah berkhidmat selama 12 tahun.

Dia yang mengendalikan program Voice of Mindanao atau Suara Penduduk Mindanao, berkata program ini adalah alternative bagi masyarakat yang tinggal di kawasan ini.

“Apa yang berlaku di Filipina, bukan sahaja kisah mengenai nasib bangsa Moro, tetapi isu Negara dan isu antarabangsa. Program ini ‘Suara of Mindanao’ adalah program alternatif bagi masyarakat yang tinggal di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, program ini dikendalikan setiap malam dan menjadi antara program yang paling popular di Mindanao.

Stesen radio ini bukan milik masyarakat Moro.

Tetapi, mereka berbincang mengenai apa yang berlaku di Filipina termasuk situasi masyarakat Moro.

“Antaranya, MILF dan kumpulan GRP, apa yang berlaku pada rundingan damai, temubual pemimpin MILF serta pandangan daripada masyarakat Moro. Walaupun kita menjadi ahli Institut Pengajian Bangsamoro, kita bercakap mengenai isu . Kami tidak pernah bercakap berat sebelah mengenai MILF. Kami bercakap apa yang berlaku dalam Negara. Kami tidak mahu buat spekulasi.”

dsc_0362.jpg

Akhir sekali, ini harapan penulis:

“Tanyalah apa yang penduduk bangsa Moro mahu. Katakanlah aspek ekonomi mana yang baik untuk mereka. Tetapi bukan itu yang mereka mahu. Namun, antara tuntutan yang jika dipenuhi dapat menyelesaikan krisis yang berpanjangan di Selatan Filipina. Antaranya, kemerdekaan, system autonomi sendiri, system pendidikan yang mencerminkan Islam dan sector pekerjaan yang adil. Jika ini tidak dipenuhi, sampai bila pun…mereka akan terus berasa tersisih”.

 

TAMAT

About massa121

Be a Creative Thinker....
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Cerita Dari Mindanao (Part 2)

  1. zafuan says:

    salam bro. sy terpanggil untuk membaca artikel sejarah Bangsamoro setelah apa yg berlaku di Zamboanga City baru-baru ini di mana rakyat biasa telah diculik dan kemusnahan ke atas harta awam akibat perang..saya memahami akan penderitaan yang dialami oleh Bangsamoro namun tidakkah tindakan mereka ini agak keterlaluan dan gagal mencerminkan imej Islam yang suci itu sendiri. Mohon pencerahan..

    • massa121 says:

      wslm, zafuan. terima kasih kerana sudi membaca sejarah Bangsamoro.

      Pada hemat saya, pergolakan yang di hadapi di Mindanao adalah ekoran daripada penderitaan yang dialami mereka dulu sampai lah sekarang. Penindasan masih berlaku terhadap masyarakat Islam Mindanao, yang dulunya majoriti, tetapi kini menjadi semakin berkurangan majoritinya.

      Rata-rata daripada anak-anak muda ada yang ‘terpaksa’ masuk Kristian, demi survival masa depan mereka.

      Jika terdapat unsur-unsur penculikan dan pembunuhan, itu bukan datangnya daripada MILF, tetapi kumpulan serpihan yang bersifat ekstrimis seperti Abu Sayyaf. Pertubuhan MNLF pula bersifat lebih seperti baling batu sembunyi tangan. Itu lah yang berlaku di Zamboanga City skrg ini, demi mahu menggagalkan usaha damai yang sedang dirangka antara MILF-Malaysia-Manila.

      Seperkara lagi, laporan media yang berkisar mengenai situasi sana, amat berat sebelah dan mencerminkan seolah-olah “mereka agak keterlaluan dan gagal mencerminkan imej Islam yang suci”. Laporan media dari Barat yang dipakai oleh media Malaysia, apabila rakyat baca, dan rakyat boleh bertanggapan begitu. Sedangkan, situasi itu tidak seperti yang dimaksudkan.

      Diharap penjelasan ini boleh menjawab persoalan saudara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s