MANILA 6 Ogos – Presiden Gloria Macapagal Arroyo telah mengarahkan tentera supaya berada dalam keadaan bersiap sedia selepas Mahkamah Agung menghalang kerajaan menandatangani perjanjian dengan kumpulan pemisah di selatan.
Ketua tentera Filipina, Jeneral Alexander Yano berkata, pihaknya memantau rapi dan menjalankan penilaian berterusan terhadap situasi itu selepas arahan itu dikeluarkan.
Arahan mahkamah itu bertujuan menghalang Manila daripada menandatangani perjanjian dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Pengkritik mendakwa perjanjian tersebut akan memberikan MILF negeri sendiri di kawasan selatan negara itu.
“Kami menerima arahan jelas daripada Presiden Arroyo supaya sentiasa berjaga-jaga berikutan perkembangan terkini.
“Kami diarahkan agar mengambil tindakan sepatutnya namun mengutamakan proses damai,” ujar Yano lagi.
Tambah beliau, pihak tentera mampu menangani dan mengatasi ancaman.
MILF yang mempunyai 12,000 anggota menegaskan, kerajaan tidak boleh memungkiri perjanjian yang memberikan mereka kuasa ke atas kawasan di selatan Mindanao.
Sejurus selepas arahan mahkamah tersebut, pejuang MILF berbalas tembakan mortar dengan tentera di bandar Midsayap dan beberapa pertempuran kecil masih berlaku sehingga hari ini.
“Kami tidak mahu pertempuran bertambah buruk namun kami akan terus melindungi komuniti awam di kawasan tersebut tanpa membuatkan konflik bertukar menjadi pertempuran hebat,” jelas Yano lagi.
PEJUANG pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menadah tangan berdoa selepas solat di Kem Darapanan, wilayah Maguindanao, selatan Mindanao, semalam sewaktu ketegangan antara kumpulan itu dan tentera kerajaan kembali meningkat ekoran kegagalan perjanjian damai, kelmarin.
– AFP