MERDEKA: Bukan sekadar logo dan lagu

SYAHREDZAN JOHAN
26 Ogos 2013
Syahredzan Johan

Syahredzan Johan

Seperti tahun-tahun sudah, Ogos diraikan sebagai bulan kemerdekaan. Seperti biasa, negara akan dihiasi dengan warna-warni merah, putih, kuning dan biru. Kerajaan, badan korporat dan individu bersungguh-sungguh menzahirkan patriotisme masing-masing. Pada bangunan, kenderaan dan di halaman rumah, Jalur Gemilang dipasang dan dikibarkan.

Corong-corong udara pula dipenuhi dengan lagu-lagu patriotik. Tahun ini, sebagai menyambut Hari Merdeka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia  telah menetapkan supaya lagu Negaraku dimainkan di pawagam-pawagam seluruh negara sebelum bermulanya tayangan filem.

Inisiatif ini akan berlangsung selama seminggu, bermula pada 28 Ogos sehinggalah 3 September 2013. Di samping itu, dua klip video pendek juga akan dimainkan sepanjang tempoh tersebut.

Penulis menghargai niat Kementerian dalam mengambil langkah ini. Sudah tentu, memupuk semangat patriotisme dan menghargai kemerdekaan adalah sesuatu yang wajar disokong dan digalakkan. Namun demikian, penulis tidak bersetuju dengan langkah ini, kerana bagi penulis ia langkah cetek yang tidak akan memberi apa-apa kesan jangka panjang.

Adakah kita akan menghargai kemerdekaan hanya dengan mendengar lagu Negaraku? Adakah semangat patriotisme akan dipupuk hanya kerana kita melihat klip video yang ditayangkan? Sudahkah kita berfikir, apa kesan tidak diingini sekiranya inisiatif ini tidak diterima?

Jika hadirin memikirkan bahawa ini suatu yang menyusahkan, tidakkah mereka bukan sahaja tidak akan menghormatinya, malah akan mempunyai perasaan negatif terhadap inisiatif ini, dan lebih tidak diingini lagi, terhadap nyanyian lagu Negaraku?

Ya, mungkin sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya menghormati lagu kebangsaan. Mudah untuk kita untuk melabelkan mereka yang tidak menyokong inisiatif ini sebagai tidak patriotik. Tetapi lebih penting lagi, dalam kita memaksa orang mendengar dan berdiri semasa ia dimainkan, adakah kita akan mencapai apa yang dimahukan?

Inilah masalah kita. Pembinaan negara-bangsa, atau nation-building, kita terhad kepada penyuapan simbol-simbol nasional. Kita diajar tentang bendera, tentang lagu Negaraku, tentang bunga kebangsaan dan sebagainya. Kita didendangkan lagu-lagu patriotik.

Tiap-tiap tahun kita keluarkan slogan Hari Merdeka berserta dengan logo yang bersesuaian. Tiap-tiap tahun kita melihat perarakan di Dataran Merdeka atau Putrajaya. Tetapi semangat cintakan negara takkan lahir hanya melalui lambang, logo mahupun lagu.

Patriotisme tidak hanya bermaksud mengibarkan bendera pada Hari Merdeka. Cinta negara bukan hanya dengan menyertai perarakan atau menyanyi lagu Sudirman sekuat hati. Ini hanyalah sebahagian daripada manifestasi Cinta pada negara.

Lebih penting adalah teras di sebalik lambang, logo dan lagu. Apa yang menyebabkan seseorang itu masih pulang ke tanah air walau seantero dunia dikembara? Apa yang menyebabkan seseorang itu masih mahu membina negara lebih baik, walau apa pun kelemahan yang ada?

Sudah 56 tahun kita Merdeka dan sudah 50 tahun terbentuknya Persekutuan Malaysia, tetapi berapa banyak kita tahu tentang diri kita sendiri? Tentang kaum-kaum selain daripada tiga etnik terbesar ‘Melayu, Cina dan India’? Tentang perayaan-perayaan lain selain daripada perayaan yang diraikan oleh kompleks beli-belah dan diberi cuti umum?

Tentang bumi nan luas dan bertuah yang sering kita lupakan yakni Sabah dan Sarawak? Tetapi yang kita tekankan adalah simbol-simbol kenegaraan. Patriotisme tidak boleh dipaksa. Ia datang dengan semula jadi. Kehebatan sesebuah negara akan bukan kerana lambang, logo atau lagu, tetapi warganya.

Warganya juga tidak akan cinta negara hanya kerana lambang, logo atau lagu, tetapi kerana mereka merasakan bahawa inilah pertiwi mereka, tanah tumpahnya darah mereka.

*Penulis seorang peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

About massa121

Be a Creative Thinker....
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s